Ada apa dengan ijazah ?

Ijazah,segulung penghargaan dan tanda pencapaian ,lambang kebanggaan setiap insan setelah berpenat lelah menuntut ilmu . Tuntut ilmu biarlah sampai ke negeri China,alhamdulilah kami diberi peluang untuk melanjutkan pelajar ke bumi indah itu . Segala pahit manis masih terpahat dan segar di ingatan,kami rindu Beijing ,rindu yang teramat ,mengapa ada rindu itu? Adakah kerana kami tidak lagi sayang kepada tanah air tumpahnya darah kami? Tidak sama sekali,sayang dan cintanya kami terhadap bumi ini tidak akan berbelah bahagi ,tapi rindunya kami kepada Beijing adalah kerana kami masih rasa belum cukup ilmu yang kami timba disana.Sebelum ini,profesion guru bukanlah pilihan utama , niat dihati hanya mahu belajar di negeri orang ,tetapi Beijing telah mengubah persepsi ku terhadap profesion ini.
    Terimbau kembali hari petama aku di Beijing Foreign Studies University ,hari pertama sesi pembelajaran ,pensyarah perempuan kecil molek bernama Puan Wang Bo,datang bersahaja mengenakan seluar jeans biru dan berbaju lengan panjang,gayanya santai dan bersahaja. Aku merasa hairan tetapi pada masa yang sama terus rasa selesa ,kami mengucap selamat dan bersuai kenal. Ternyata Puan Wang Bo mesra orangnya . Di Beijing tidak kira pensyarah atau guru biasa panggilannya tetap sama iaitu cikgu ,lao shi ,membuat kami rasa lebih dekat dan mesra . Ketika itu umur kami hanya 18 tahun ,boleh dikatakan masih muda,jauh dari ibu bapa dan keluarga,tapi entah mengapa, perasaan sunyi atau rindukan rumah itu tidak ketara. Baru aku tahu kini mengapa,kerana kami dapat merasakan kasih sayang tersebut dari pensyarah-pensyarah kami . Mereka bukan sahaja tenaga pengajar,malah mereka juga seperti keluarga kami . 
   Apa yang menarik tentang cara mereka mengajar ,mereka selalu bertanyakan pendapat pelajar , memberi pelajar perasaan mempunyai kuasa memilih. Jarang sekali kami mendengar kata-kata negatif daripada mereka ,walaupun dalam bentuk teguran . Tiada ungkapan seperti "kamu ni lembab","kamu dulu belajar ke tak", "eh takkan itu pun tak tahu" ,dan tidak sesekali mempersoalkan kelayakkan dan kebolehan kami. Tetapi tidak bermakna mereka tidak menegur apabila kami salah ,menegur menasihati adalah tugas wajib seorang pendidik,tetapi teguran mereka membina dan tidak mencalarkan maruah . Suara pelajar sentiasa didengari dan tidak diketepi . Aku banyak belajar dengan mereka ,aku harap aku mampu menjadi seorang guru seperti mereka , niat ku berjaya mereka ubah . 
    Tekanan pelajaran disana dan disini tidak jauh bezanya, tugasan yang menggunung ,aktiviti luar yang perlu kami hadir ,tetapi kami masih mampu mengukirkan senyuman . Mungkin gambar-gambar yang kami himpun hanya gambar kami bergembira meneroka bumi China,tetapi tugasan dan pelajaran tidak kurang beratnya ,janganlah sangka kami hanya bersuka ria .Ijazah yang kami perolehi bukanlah dipetik atau dikutip ,ijazah itu adalah hasil titik peluh kami,penat lelah usaha kami . Ya,ilmu pengetahuan kami belum cukup,oleh itu kami akan terus belajar dan belajar ,demi untuk mendidik anak bangsa kami , akhir kata "Buah cempedak diluar pagar,ambil galah tolong jolokkan , kami budak baru belajar,kalau salah tolong tunjukkan . Pergi ke kedai membeli madu ,madu tumpah dikain perca,minta kami hanyalah satu ,tolong ajar jangan dicerca.".

Sekian untuk kali ini,
Asalamualaikum.